Yusuf Azmi Dan Ali Salimin Dibebaskan Dengan Ikat Jamin

Sharing is caring!

Kajang: Dua aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, di sini hari ini terhadap pertuduhan melakukan khianat dan menceroboh premis sebuah syarikat kereta pajak di sini, Julai lalu.

Pengarah Unit Tindakan Khas Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Yusuf Azmi bersama Ketua Operasi unit itu, Ali Salimin membuat pengakuan berkenaan di hadapan Majistret Nor Afidah Idris.

Yusuf, 27, dan Ali, 50, didakwa bersubahat melakukan perbuatan khianat dengan memotong kunci pagar stor Syarikat AGR Auto Trade Sdn Bhd pada jam 3.30 petang, 10 Julai lalu.

Mereka dituduh melakukan perbuatan itu di hadapan stor syarikat berkenaan di Lot 1926A, Sungai Sikamat, Jalan Cheras Batu 13, di sini dan didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, dua lelaki itu boleh dihukum penjara maksimum lima tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali.

Bagi pertuduhan kedua, mereka didakwa melakukan pencerobohan jenayah di tempat sama, antara jam 3.30 petang hingga 7.30 malam, hari sama dan didakwa mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan.

Mereka yang ditahan polis pagi tadi, kemudian dibebaskan dengan ikat jaminan RM5,000 setiap seorang dan 24 November untuk sebutan semula kes.

Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga bulan atau denda maksimum RM3,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Megat Mahathir Tharih Afendi.

Sharing is caring!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *