Wan Zahidi dilantik pengerusi Jawatankuasa Fatwa MKI baharu

Sharing is caring!

KUALA LUMPUR: Bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Wan Zahidi Wan Teh dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) yang baharu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata pelantikan itu adalah bagi menggantikan Prof Emeritus Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin yang telah tamat tempoh pelantikannya dan setelah diperkenankan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V dengan persetujuan Majlis Raja-Raja.

Prof Emeritus Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin

Jamil dalam satu kenyataan di sini malam semalam berkata, pelantikan Wan Zahidi, 75, adalah berdasarkan pengalamannya yang luas dalam pelbagai bidang dan lapangan kerjaya khususnya berkaitan dengan hal ehwal Islam.

Selain pernah berkhidmat sebagai Mufti Wilayah Persekutuan, Wan Zahidi yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda (Syariah) serta Ijazah Sarjana (Usul Fiqh) dari Universiti Al-Azhar Mesir.

Beliau pernah menyandang jawatan Rektor Kolej Islam Darul Ridzuan serta pernah menjadi Pengerusi Panel Pakar Akidah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.

Wan Zahidi yang berasal dari Kampung Kerunai, Gerik, Perak juga pernah menjadi Pensyarah Jabatan Syariah Universiti Kebangsaan Malaysia.

Beliau juga adalah salah seorang daripada Ahli Panel Pemilih Jabatan Hal Ehwal Khas, Kementerian Penerangan Malaysia yang mana pernah menjadi Pensyarah Kuliah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa.

Datuk Wan Zahidi Wan Teh menerima Anugerah Perdana Maulidur Rasul 2015

Dalam pada itu Jamil menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada Abdul Shukor atas segala sumbangan dan khidmat bakti beliau kepada agama, bangsa dan negara sepanjang memegang jawatan Pengerusi Jawatankuasa Fatwa MKI.

Abdul Shukor menyandang jawatan berkenaan sejak 2005.

— BERNAMA

Sharing is caring!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *