UMNO Kelantan yakin tambah kerusi

Sharing is caring!

UMNO Kelantan yakin Barisan Nasional (BN) mampu untuk menang lebih banyak kerusi di Kelantan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang yang semakin dekat.

Wakil Kelantan merangkap Ahli Parlimen Machang Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, ini berdasarkan keyakinan rakyat di negeri itu yang dilihat semakin meningkat terhadap UMNO dan BN hasil usaha tulus yang ditunjukkan kerajaan persekutuan di negeri itu.

“Sejak Datuk Seri Najib Razak memegang jawatan Presiden parti dan Perdana Menteri, beliau telah menunjukkan kesungguhan yang tidak berbelah bahagi dalam membela rakyat termasuk di Kelantan,” katanya ketika membahaskan usul ucapan dasar presiden pada Perhimpunan Agung UMNO 2017 di PWTC hari ini.

Ahmad Jazlan yang juga Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah itu berkata UMNO Kelantan sedar dan menerima hakikat negeri itu paling lama diperintah pembangkang dan ada yang mempertikai kenapa kerajaan membela Kelantan.

Beliau berkata tindakan Najib yang tidak meninggalkan Kelantan dalam agenda pembangunan negara termasuk dalam pembentangan bajet dan Rancangan Malaysia ke-11 menterjemahkan sikap keterbukaan perdana menteri sebagai pemimpin berjiwa besar dan tidak pilih kasih.

Susulan itu, katanya, UMNO berjaya meningkatkan prestasi dan memenangi 12 kerusi Dewan Undangan Negeri di Kelantan pada PRU sebelum ini.

“Pada PRU-14 kita percaya UMNO akan menang banyak lagi kerusi,” katanya.

Sementara itu, wakil UMNO Perlis Azihani Ali berkata walaupun BN yakin akan menang selesa di Perlis namun soal pemilihan calon tidak harus dipandang mudah.

“Letaklah calon yang benar-benar boleh menang besar,” kata Ketua UMNO Cawangan Jejawi, Kangar itu.

Sharing is caring!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *