‘Tolong semua, jangan kira siapa’

Sharing is caring!

Banjir besar di Pulau Pinang perlu dijadikan pengajaran kepada semua parti politik di negara ini, kata Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.

Menurut beliau, di sebalik musibah itu tidak perlu mana-mana pihak menanam kebencian dan permusuhan sesama sendiri di masa akan datang.

Katanya, apabila berlaku sesuatu bencana atau tragedi mereka pastinya saling memerlukan sama ada aspek bantuan dan sokongan.

“Sepatutnya begitulah. Kita tidak (boleh) kira fahaman politik dan sebagainya.

“Dalam soal kemanusiaan ini kita kena tolong semua sekali tidak kira sesiapa saja,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK), di Kota Bharu, hari ini.

Sebelum ini, kerajaan negeri Kelantan menyalurkan bantuan segera berjumlah RM50,000 kepada Pulau Pinang walaupun hubungan PAS dengan DAP yang menerajui Pulau Pinang berkecai selepas pilihan raya umum ke-13 dan menjadi semakin renggang selepas Pakatan Rakyat terkubur.

Dalam tragedi banjir besar di Kelantan pada 2014 lalu, Ketua Menteri Pulau Pinang juga pernah menyalurkan bantuan lebih RM1 juta kepada Kelantan pada tahun 2014 apabila negeri itu dilanda banjir.

Sementara itu, Ahmad yang juga timbalan mursyidul am PAS berkata, banjir besar di Pulau Pinang menyaksikan semua pihak menunjukkan tanggungjawab dengan membantu mangsa-mangsa tanpa mengira fahaman politik.

Kelantan katanya, akan terus menggerakkan sukarelawan, NGO dan Jabatan Amal PAS bagi membantu mangsa banjir di Pulau Pinang.

“Kita harap semua pihak juga dapat membantu mangsa banjir di Pulau Pinang, Kedah atau mana-mana negeri yang ditimpa musibah,” jelasnya.

Banjir: Dengan doa, Kelantan bersedia

Kerajaan Kelantan sudah bersedia untuk berdepan kemungkinan banjir di negeri itu, selepas kejadian yang melanda utara semenanjung Malaysia.

Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob berkata pihaknya sudah bersiap sedia dengan segala aset.

Malah, kekuatan anggota keselamatan telah ditempatkan di barisan hadapan.

Beliau yang juga timbalan mursyidul am PAS itu bagaimanapun meminta rakyat negeri Cik Siti Wan Kembang memohon kepada Allah supaya dijauhi segala musibah.

“Kita berdoa agar tidak menerima musibah besar, itu paling utama.

“Saya juga menyeru rakyat di negeri ini mengadakan solat hajat momohon doa agar Kelantan bebas daripada banjir besar,” katanya ketika diminta mengulas kesediaan kerajaan negeri.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK), di Kota Bharu, hari ini.-Mkini

Sharing is caring!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *