TMJ bidas komplot ‘jahat’

Sharing is caring!

Johor Bahru: “Bukan saja nak removekan (singkirkan) (Kevin) Ramalingam, Ketua Pegawai Eksekutif Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP), presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pun dia nak remove (singkir),” kata Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengulas laporan mengenai wujudnya konspirasi terhadap Kevin dan dirinya selaku Presiden FAM.

Malah, beliau turut tidak menolak wujudnya individu dalam persatuan berkenaan yang mempunyai keinginan untuk merebut jawatan disandangnya ketika ini dan mahu menyingkirkannya.

“Sudah tentu, bukan saja nak singkirkan dia (Kevin), (tapi) nak singkirkan saya pun sebagai presiden. Ramai dalam FAM yang berangan nak jadi presiden, saya cakap terus terang, kamu boleh petik apa saya kata mengenai perkara itu, ramai dalam FAM nak jadi presiden.

“Ramai juga di dalam FAM kadang-kadang suruh media tulis macam-macam. Jadi harap-harap apabila TMJ macam putus asa, konon angkat kaki, dapatlah peluang nak jadi presiden, itu tak akan berlaku,” katanya.

Katanya, terdapat kecenderungan dalam FAM berpolitik hingga ke tahap membawa penaja liga.

“Dalam FAM ada politik juga, yang nak bawa penaja untuk jadi penaja liga pun ada politik, kononnya nak buat konsortium dan syarikat sendiri bermakna tidak perlu lagi FMLLP dan nak bagi lobi kepada orang masing-masing.

“Saya cakap dalam FAM sendiri, saya presiden FAM, saya tahu benda itu ada berlaku, tapi selagi saya berada di FAM jangan haraplah, benda ini patut masuk berita, biar mereka tahu,” kata baginda.

Mengulas lanjut mengenai kedudukan Kevin, Tunku Ismail menegaskan siapa saja yang memegang jawatan Presiden FAM, akan ada hak untuk menentukan kedudukan individu berkenaan.

Malah, baginda menyifatkan Kevin sebagai individu bertanggungjawab dalam menjalankan tugas dengan baik dan tiada keperluan untuk melantik Ketua Pegawai Eksekutif baru ketika ini.

“Kalau esok (akan datang) saya lantik orang lain, orang lainlah, setakat ini dia buat kerja dengan betul dan dia boleh jawab mana-mana soalan yang awak (wartawan) lontarkan pada dia, dia ada fakta.

“Pada saya dia patut teruskan kerjaya dia, saya tahu dalam FAM, beberapa exco tidak setuju dengan saya punya pendapat kerana mereka nak orang-orang mereka sendiri, tapi maaflah, ini bukan parti politik, ini adalah persatuan bola sepak,” katanya.

Sharing is caring!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *