‘Terima kasih kepada semua, maaf atas kekurangan’

Sharing is caring!

Lima hari selepas Pulau Pinang dilanda banjir yang disifatkan antara terburuk dalam sejarah, Ketua Menteri Pulau Pinang hari ini menyatakan perasaan terharunya melihat semangat yang ditunjukkan penduduk negeri itu serta setiakawan ribuan sukarelawan yang datang dari seluruh negara.

Berucap dengan penuh perasaan di Dewan Undangan Negeri (DUN), Lim berkata sukarelawan telah menyumbang wang dan mengorbankan masa dan tenaga untuk membantu mangsa, walaupun tidak mengenali satu sama lain.

“Inilah yang boleh dikatakan hidup bermuafakat, ringan sama dijinjing, berat sama dipikul.

“Saya juga tersentuh dengan semangat perpaduan di kalangan masyarakat majmuk di mana rakyat berbilang kaum dan agama telahpun membuka pintu rumah dan juga hati mereka,” katanya.

“Orang Islam membantu bukan Islam dan orang bukan Islam membantu mangsa Islam. Inilah wadah semangat Malaysia dan kekitaan tanpa mengira perbezaan kaum dan agama yang paling murni sekali,” katanya yang juga setiausaha agung DAP.

Terdahulu, beliau mengumumkan pelancaran “Pulau Pinang Bangkit” dengan peruntukan RM100 juta untuk membina semula negeri itu, serta bantuan RM500 kepada 100,000 isi rumah yang terkesan dengan musibah yang menimpa.

Lim turut memberi penghargaan kepada bilal surau Taman Free School Sapno Tukijo, yang menjadi perhatian ramai kerana memberi perlindungan kepada kira-kira 70 penduduk bukan Islam di surau itu.

“Banyak pertubuhan bukan Islam seperti Tzu Zhi menjalankan pembersihan dan berikan bantuan kepada mangsa Islam.

“Perpaduan inilah yang menjadikan kita bangga sebagai anak Negeri Pulau Pinang dan Malaysia,” katanya lagi.

Beliau turut memohon maaf jika ada kawasan ditimpa banjir yang tidak mendapat bantuan daripada kerajaan negeri mahupun persekutuan, kerana kekurangan sumber dan kelengkapan.

“Dengan penuh rendah diri, saya ingin memohon maaf sekiranya berlakunya kekurangan. Kerajaan Negeri amat prihatin dan ambil berat kepada setiap mangsa dan akan berusaha bersungguh-sungguh untuk memperbaiki penyampaian perkhidmatan yang sedia ada,” katanya lagi.

Bantuan bernilai jutaan ringgit diberikan kerajaan negeri, persekutuan serta NGO berikutan banjir yang melanda pada 4 dan 5 November. Malah DAP Pulau Pinang semalam berjaya mengumpul sejumlah RM5 juta daripada sumbangan orang ramai.

Pulau Pinang dilanda banjir besar pada 4 November lalu yang mengorbankan tujuh nyawa dan menjejaskan 5,000 orang di 80 peratus kawasannya.-Mkini

Sharing is caring!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *