Teliti semula rekod lampau Datuk Seri

Sharing is caring!

POLIS akan meneliti semula semua rekod lampau lelaki bergelar Datuk Seri yang didakwa mengasari tiga anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) yang bertugas di sebuah tokong dekat Kampung Baru, Kuala Lumpur pada 27 Oktober lalu.

Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim menegaskan fail rekod suspek kini ada di Bukit Aman dan akan diteliti pihaknya sebelum mengambil tindakan susulan.

Beliau berkata, setakat ini suspek disahkan positif mengambil dadah methamphetamine hasil ujian saringan awal air kencingnya.

Katanya, sehubungan itu pihaknya membuka satu lagi siasatan mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 terhadap suspek yang sebelum itu turut diasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan.

“Kita akan pastikan kedua-dua siasatan dilaksanakan dan apabila lengkap akan diambil tindakan.

“Kita juga sedang mengeluarkan kes-kes tertuduh yang dulu, kaji mengapa tidak didakwa, adakah kerana kekurangan bukti dan sebagainya.

“Saya sudah arahkan semua pegawai saya meneliti semula kes lampau suspek dan jika ada keterangan dan boleh diambil tindakan, kita lakukannnya,” katanya ketika diminta mengulas laporan New Straits Times hari ini bahawa suspek mempunyai 10 rekod lampau tanpa memperincikan di mana ia berlaku.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tertinggi (HLC) di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, di Bukit Kayu Hitam, hari ini.

Noor Rashid berkata, polis akan mengambil tindakan tanpa memilih bulu kepada mana-mana individu yang melakukan kesalahan.

“Sama ada Tan Sri, Datuk Seri atau sesiapa saja yang terbabit dalam pelanggaran undang-undang dan cetuskan gangguan kepada ketenteraman awam, kita akan ambil tindakan sewajarnya.

“Kita beri perhatian di peringkat Bukit Aman supaya apa juga kelemahan di peringkat siasatan, kita buat pembetulan,” katanya.

Pada 27 Oktober lalu, tiga anggota RELA,Melvin Cheong Mun Khai,19; Leong Jiun Jie,21, dan Lee Weng Poh, 27, masing-masing cedera bengkak di mata kiri, selain sakit di beberapa bahagian badan selepas mendakwa dipukul dan ditendang seorang lelaki ketika menjalankan tugas kawalan keselamatan bagi upacara keagamaan di sebuah tokong di Kampung Baru Ampang, Kuala Lumpur.

Mereka mendakwa kejadian berlaku hanya kerana mereka meminta ‘Datuk Seri’ itu untuk mengalihkan kenderaan jenis Toyota Vellfire yang diletakkan di tepi jalan besar kerana menghalang lalu lintas.

Sharing is caring!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *