Telaga Zamzam Dibersih, Siap Sebelum Ramadan

Sharing is caring!

MAKKAH – Telaga Zamzam di Masjidil Haram yang wujud sejak zaman Nabi Ismail AS bakal dicuci pihak berkuasa bagi memastikan aliran air lancar, menurut laporan media Arab Saudi semalam.

Perkara tersebut diumumkan oleh Ketua Presiden bagi Kompleks Masjidil Haram dan Masjid Nabawi, Sheikh Abdul Rahman Al-Sudais setelah mendapat perkenan kelulusan daripada Raja Salman Abdulaziz Al-Saud baru-baru ini

Menurut beliau, baginda selaku Penjaga Masjidil Haram dan Masjid Nabawi sudahpun mengizinkan projek tersebut yang akan mengambil masa tujuh bulan untuk diselesaikan. Ia dijangka siap menjelang Ramadan pada 2018 ini.

Projek berkenaan akan meliputi dua bahagian iaitu pertama adalah untuk mengenal pasti lima aliran air bagi telaga Zamzam di bahagian timur mataf. Keseluruhan aliran air itu sepanjang 120 meter dan selebar lapan meter.

Bahagian kedua pula adalah pembersihan kawasan sekitar telaga dengan mengalihkan serpihan konkrit dan besi yang digunakan di bahagian bawah tanah lama Masjidil Haram, lapor portal berita tempatan Saudi Gazette.

Projek tidak didedahkan kos tersebut juga termasuk usaha pemasangan komponen gipsum yang sudah dibersihkan di sekeliling telaga berkenaan bagi memastikan aliran air menjadi lebih lancar selepas siap kelak.

Ketika ini pihak Jabatan Geologi Arab Saudi dikatakan mempunyai Pusat Pengajian dan Penyelidikan Zamzam yang dapat menganalisis ciri-ciri teknikal telaga dengan lebih terperinci tanpa menjejaskan sumber air.

Paras air berkenaan sentiasa dipantau oleh alat pengukur hidrograf, yang baru-baru ini sudah diubah kepada sistem pemantauan digital yang dapat meneliti ketinggian air, keberaliran elektrik, pH, Eh dan suhu terkini.

Terletak kira-kira 20 meter sahaja dari binaan Kaabah, telaga Zamzam dipercayai sebagai perigi paling tua di dunia memandangkan airnya sudah mengalir tanpa henti selama 5,000 tahun waima ketika musim kemarau.

Telaga itu mengepam sehingga 18.5 liter air setiap saat dan dalamnya hanya 30 meter, lapor Saudi Gazette. Sekitar 120 tan air Zamzam dibawa ke tangki-tangki simpanan di Masjid Nabawi setiap hari tanpa gagal.

Ia diangkut dengan menggunakan puluhan lori tangki yang dilengkapi ciri-ciri khusus untuk melindungi kualitinya daripada tercemar untuk diedarkan kepada jemaah masjid dan pejalan kaki secara percuma.

Air Zamzam kemudian dimasukkan ke dalam 7,000 bekas yang steril atau bersih kuman sebelum diagihkan di dalam dan di luar pekarangan masjid tersebut.

Sharing is caring!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *