Sungai Kelantan Meriah!

Sharing is caring!

TUMPAT: Sebanyak 60 bot yang dihias Jalur Gemilang dan bunga manggar menyusuri Sungai Kelantan sempena sambutan Hari Malaysia.

Bermula dari jeti di Pasir Pekan, semua bot yang memuatkan hampir 500 penumpang terdiri daripada penduduk di sekitar Parlimen Tumpat menuju ke Kampung Pulau Beluru.

Program anjuran UMNO Bahagian Tumpat itu dirasmikan Pemangku Ketua UMNO Bahagian Tumpat, Datuk Mohd Rosdi Abdul Aziz.

Mohd Rosdi berkata, penganjuran itu mendapat sambutan luar biasa kerana perarakan di sungai sebegitu adalah sesuatu yang baharu, berbanding sebelum ini yang diadakan di darat.

“Insya-Allah, kita akan anjurkan secara tahunan kerana melihat kepada sambutan yang amat menggalakkan.

 

“Hampir 2,000 penduduk kampung sekitar pulau ini kelihatan teruja,” katanya kepada pemberita, di sini, sebentar tadi.

Yang turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kubor, Mat Razi Mat Ail.

Sebahagian besar peserta mengenakan pakaian berasaskan Jalur Gemilang sebagai menunjukkan semangat nasionalisme.

Perarakan sejauh 15 kilometer turut disertai dua bot dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Tumpat.

Suasana tambah meriah dengan kibaran Jalur Gemilang yang diiringi nyanyian lagu patriotik.

Seorang penduduk Kampung Pantai Suri, Siti Rokiah Mamat, 55, berkata beliau menunggu sejak pagi untuk melihat perarakan ketibaan semua 60 bot berhias.

“Selalunya sambutan kemerdekaan dan Hari Malaysia dianjurkan kecil-kecilan sahaja, tapi hari ini sangat meriah,” katanya.

Sharing is caring!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *