Staf Kementerian,10 Firma Seleweng RM100 Juta

Sharing is caring!

KUALA LUMPUR – Sekurang-kurangnya lima pegawai kementerian yang dipercayai ada kaitan dengan 10 syarikat menggelapkan dana lebih RM100 juta telah dikenal pasti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurut sebuah laporan eksklusif New Straits Times, mereka telah melakukan kegiatan haram tersebut melalui projek-projek yang diragui kewujudannya sejak beberapa tahun lalu.

Terdapat juga projek didakwa tidak dijalankan mengikut spesifikasi yang ditetapkan.

“Kes ini bukan sahaja mencuri dana yang sepatutnya disalurkan oleh pembangunan infrastruktur, malah program makanan pelajar miskin turut menjadi mangsa hubuan,” menurut sumber kepada akhbar harian berbahasa Inggeris itu.

Kumpulan pegawai kanan di kementerian yang tidak didedahkan namanya itu dikatakan bekerjasama dengan beberapa syarikat untuk menyeleweng peruntukan tersebut bagi projek kerajaan yang sepatutnya digunakan untuk meningkatkan kebajikan dan infrastruktur masyarakat.

Cara ‘kerja kotor’ mereka mudah: sekadar mengisytiharkan secara hitam putih bahawa projek telah selesai, walaupun tiada sebarang kerja yang dilakukan.

Namun, tertuduh dilaporkan lupa kewujudan sistem Laporan Transaksi Mencurigakan Bank Negara Malaysia, yang berjaya mengesan pergerakan wang yang besar dalam akaun-akaun bank yang ada kaitan dengan suspek.

“Ini membabitkan puluhan projek dan inisiatif yang sepatutnya dilaksanakan untuk membantu golongan miskin termasuk yang bernilai antara RM500 juta dan RM1 bilion,” kata sumber tersebut lagi.

Sharing is caring!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *