Reka Bentuk Industri: Kes Apple VS Samsung!

Sharing is caring!

KORANG tahu tak kira-kira lima tahun lepas, syarikat gergasi telekomunikasi Apple telah menuntut pampasan AS$2.7 bilion (RM8.1 bilion) daripada Samsung di mahkamah Amerika Syarikat atas alasan Samsung telah menciplak reka bentuk iPad dan iPhone.

Bicara punya bicara, mahkamah di Amerika Syarikat (AS) memutuskan Samsung perlu membayar Apple pampasan berjumlah AS$1.05 bilion (RM3.15 bilion!)

Ini kerana mahkamah di sana mendapati beberapa produk keluaran Samsung telah melanggar aspek reka bentuk dan perisian iPhone Apple.

Dahlah menang, susulan kepada keputusan itu, nilai saham Apple meningkat kepada AS$12 sesaham!

Nampak tak ‘kelicikan’ Apple, dapat keuntungan berkali-kali ganda. Ini kerana daripada awal lagi mereka sedar akan hakikat betapa pentingnya mendaftarkan reka bentuk perindustrian mereka.

Nasib baiklah Samsung bukan ‘kecik anak’ punya syarikat, mereka masih mampu membayar jumlah tersebut walaupun ‘pening kepala’ jugalah memikirkan bagaimana laba mereka ‘hilang’ begitu saja.

Korang rasa korang boleh jadi macam syarikat Apple tak? Mengapa pula tidak?

Seperti mana Apple, korang juga berhak ke atas produk yang korang reka tetapi itu semua tidak bermakna kalau korang tidak mendaftarkan reka bentuk industri korang di MyIPO dengan segera!

Sebelum pergi lebih jauh, jom kita tengok apa yang dimaksudkan dengan REKA BENTUK PERINDUSTRIAN.

Reka bentuk perindustrian ialah ciri bentuk, tatarajah, corak atau hiasan yang digunakan pada sesuatu barang melalui apa-apa proses atau cara perindustrian, iaitu ciri yang ada pada barang siap, merupakan ciri yang menarik dan dinilaikan dengan pandangan mata.

Kalau nak daftar, ia mestilah baru serta tidak pernah dizahirkan di negara kita dan tidak terdapat di dalam Daftar Reka Bentuk Perindustrian.

Ciri-ciri suatu reka bentuk boleh terdiri daripada bentuk dan tatarajah (3D), corak dan hiasan (2D) atau gabungan kedua-duanya sekali yang terdapat pada barang tersebut.

Untuk pengetahuan korang, sesuatu reka bentuk perindustrian berdaftar adalah diberi perlindungan selama lima (5) tahun dari tarikh pemfailan. Perlindungan boleh dilanjutkan selama 4 tempoh di mana setiap tempoh perlindungan selama 5 tahun. Ini bermakna tempoh maksimum perlindungan ialah selama 25 tahun!

Pun begitu, ada juga yang reka bentuk perindustrian yang TAK BOLEH didaftarkan.

Pertama bila ia tidak mempunyai nilai estetik yang jelas. Kedua kaedah atau prinsip pembinaan yang melanggar syarat ditetapkan.

Ketiga bila ciri reka bentuk itu hanya ditentukan semata-mata oleh fungsi (Dictated solely by the function). Keempat, ciri yang bergantung kepada rupa suatu barangan lain.

Apapun yang paling penting, reka bentuk yang korang cipta itu tak boleh bertentangan dengan ketenteraman awam atau prinsip moral.

Dah jelaskan pasal maksud reka bentuk industri dan ciri-ciri barangan yang tak boleh didaftarkan?

Baik, ini bahagian paling penting DAN korang perlu ambil tahu.

KENAPA REKA BENTUK INDUSTRI INI PERLU DIDAFTARKAN?

Pertamanya hak eksklusif bro. Sijil Pendaftaran Reka Bentuk Perindustrian yang dikeluarkan BOLEH digunakan sebagai bukti yang sah dalam tuntutan hak milik berkenaan di mahkamah.

Sebagai pemilik reka bentuk perindustrian berdaftar, korang mempunyai hak eksklusif untuk MEMBUAT, MENGIMPORT, MENJUAL, MENYEWA atau MENGGUNAKANNYA bagi tujuan perdagangan atau perniagaan.

Kalau ada pihak yang hendak menggunakan reka bentuk korang yang berdaftar itu, mereka mesti minta kebenaran korang dulu. Jika tidak, korang boleh mengambil tindakan melalui undang-undang sivil di bawah peruntukan Akta Reka Bentuk Perindustrian 1996 dan di bawah Akta Perihal Dagangan 1972.

Cuma satu je nak pesan, sesuatu reka bentuk perindustrian yang berdaftar di Malaysia adalah diberi perlindungan hanya di Malaysia SAHAJA. Untuk mendapatkan perlindungan di negara-negara lain, pemohon hendaklah membuat permohonan secara berasingan di setiap negara yang berkaitan.

BERAPA LAMA PROSES DIAMBIL UNTUK SIJIL DIKELUARKAN?

Purata Sijil Pendaftaran Reka Bentuk Perindustrian dikeluarkan adalah dalam tempoh 8 bulan dari tarikh penerimaan borang, dokumen dan yuran pemfailan yang lengkap. Tempoh tangguhan selama 6 bulan adalah bertujuan menghormati peruntukan Artikel 4(c)(1), Konvensyen Paris (pindaan 28 September 1979).

Oleh yang demikian, MyIPO hanya akan membuat carian dan pemeriksaan kebaharuan yang telah didaftarkan 6 bulan selepas dari tarikh prioriti atau tarikh pemfailan.

Akhir sekali nak pesan kat sini, janganlah berlengah untuk mendaftarkan reka bentuk industri korang dengan segera di MyIPO. Kena ingat, ia berdasarkan siapa dulu yang daftar.

Andai kata ada orang lain yang terlebih dahulu menciplak dan mendaftarkan reka bentuk yang korang reka tu, korang tak boleh marah seandainya hak itu jatuh ke tangannya.

Sharing is caring!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *