Polis Thai tahan lelaki M’sia bersama 167 kg ganja

Sharing is caring!

Polis Thailand menahan seorang lelaki warga Malaysia di pusat pemeriksaan Sadao kira-kira 7 pagi waktu tempatan hari ini dan menjumpai 176 kg ganja dianggarkan bernilai 4.4 juta Baht (RM550,000) di pasaran gelap.

Penolong Ketua Polis Sempadan Sadao, Lt Kol Kittipat Runruai berkata kesemua dadah itu ditemui tersembunyi dalam van berpendaftaran Malaysia dinaiki lelaki berusia 28 tahun bersama seorang wanita tempatan berusia 32 tahun.

“Lelaki warga Malaysia itu mengakui menerima upah sebanyak RM500 daripada seorang lelaki senegara untuk membawa masuk dadah itu ke Malaysia menggunakan kenderaan itu,” katanya kepada pemberita di Songkhla hari ini.

Polis Sempadan Sadao katanya menerima maklumat perisikan dari Polis Anti-Narkotik Thailand tentang cubaan rakyat Malaysia dan Thailand untuk menyeludup masuk dadah ke Malaysia menggunakan kenderaan berdaftar di Malaysia itu.

Lelaki Malaysia dan wanita tempatan berasal dari wilayah Nakorn Si Thammarat itu kini ditahan di Balai Polis Sadao bagi siasatan lanjut bersama kenderaan digunakan mengangkut dadah itu, kata Kittipat.

-Bernama

Sharing is caring!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *