Peralatan shisha, arak dilupuskan

Sharing is caring!

PERALATAN shisha dan minuman keras bernilai RM100,000 dilupuskan Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) hari ini.

Semua barangan itu dirampas dalam beberapa siri operasi bermula Januari 2016 hingga 1 Oktober 2017.

Yang Dipertua MPKB-BRI Datuk Zamri Ismail berkata, pelupusan membabitkan 1,221 botol shisha dan 4,957 minuman keras botol dan tin.

“Kita merampas semua barangan ini daripada peniaga restoran dan pemilik gerai yang ingkar dengan menjadikan shisha serta minuman keras sebagai pelaris perniagaan di Kota Bharu.

“Sejak awal tahun lalu, kami sudah mengadakan rondaan setiap malam bagi mengenal pasti premis perniagaan yang berniaga tanpa lesen,” katanya dalam sidang media, hari ini.

Terdahulu, beliau melakukan simbolik pelupusan barang rampasan itu yang dilaksana di pekarangan Majlis Perbandaran Kota Bharu, Panji.

Hadir sama, Setiausaha MPKB-BRI Nik Mohamed Noor Nik Ishak.

Zamri berkata, di masa akan datang, pihaknya akan menjalankan penguatkuasaan yang lebih tegas terhadap peniaga ingkar.

“Antaranya, golongan yang berani berniaga barang larangan di tempat terbuka,” katanya.

Semua barangan yang dilupuskan akan ditanam di talak pelupusan sampah Kampung Telong, Bachok.-Hmetro

Sharing is caring!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *