Perak juara Piala Razak

Sharing is caring!

Perak muncul juara divisyen satu kejohanan Hoki Piala Razak edisi ke-55 selepas menumpaskan juara bertahan, Terengganu 3-2 di Stadium Azlan Shah, Ipoh, malam tadi.

Hafifihafiz Hanafi muncul wira apabila menolak masuk dari gerakan ‘set piece’ semasa pukulan sudut penalti seminit sebelum tamat permainan untuk membolehkan Perak muncul juara buat kali kelapan dalam kejohanan berprestij itu.

Menerusi kemenangan itu Perak yang kali terakhir muncul juara pada 2014 merangkul RM10,000 manakala Terengganu yang bangkit dua kali untuk menyamakan kedudukan terpaksa berpuas hati dengan hadiah wang tunai RM7,000.

Pada perlawanan itu, anak buah Sarjit Singh lebih menguasai permainan tetapi berhadapan dengan kesungguhan pemain tuan rumah yang berjuang hingga ke wisel penamat.

Malah anak buah, Mohd Nizam Mohd Hashim mengejutkan pasukan juara itu apabila Muhammad Najib Abu Hassan menguis melepasi Hafizuddin Othman sebaik memasuki kawasan D pada minit ke-30 untuk memisahkan kedua-dua pasukan.

Kedudukan itu hanya bertahan lima minit apabila Terengganu bangkit pada babak ketiga dan Faizal Saari menyamakan kedudukan pada minit ke-35.

Terengganu terus menekan ke kubu Perak selepas itu tetapi segala usaha mereka gagal. Sebaliknya Perak yang bergantung kepada serangan balas memperolehi gol kedua melalui pemain terbaik perlawanan itu, Muhammad Haziq Samsul pada m-52 tetapi empat minit kemudian Faizal menyamakan kedudukan 2-2 yang juga jaringan peribadi kesembilannya sepanjang kejohanan itu.

Namun ketika perlawanan tampak menuju seri Hafifihafiz muncul untuk menjaring gol kemenangan tuan rumah.

Sementara itu , Melaka menduduki tempat ketiga selepas menumpaskan Negeri Sembilan 1-0 sekaligus meraih RM5,000.-BHonline

Sharing is caring!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *