Peniaga kecil di Pasar Besar Pasir Puteh dakwa ditindas

Sharing is caring!

LEBIH 500 peniaga kecil di Pasar Besar Pasir Puteh memohon Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan terhadap pembinaan Pasar Siti Hajar di Pasir Puteh Sentral yang baru siap dibina.

Peniaga mendakwa pembinaan pasar menelan belanja sehingga RM6.1 juta itu meragukan kerana tidak memberi keselesaan kepada peniaga dan pengguna berikutan petak jualan sempit dengan hanya berukuran 3×5 kaki persegi.

Selain itu, pendawaian elektrik membahayakan peniaga dan lokasinya tidak strategik menyebabkan mereka enggan berpindah ke pasar berkenaan.

Pengerusi Persatuan Peniaga Kecil Pasar Besar Pasir Puteh, Kamarzaman Che Ngah berkata, pembinaan pasar baru terbabit yang dikatakan menelan kos lebih RM6 juta perlu disiasat SPRM kerana gagal memberi keselesaan berbanding pasar lama.

“Bangunan itu dikatakan bernilai lebih RM6 juta, bagaimanapun selepas siap dibina kita boleh lihat ia seperti tidak sampai RM2 juta.

“Keluasan tempat berniaga sangat terhad dan tidak selesa untuk kami berniaga, sistem pendawaian yang membahayakan peniaga dan pelanggan selain lokasinya tidak strategik.

“Kami bukan mahu berniaga sehari ke dua hari, sekurang-kurangnya kami mahu berniaga di situ sehingga 30 tahun, ini kalau kita lihat lebih kurang tiga tahun benda (bangunan) ini akan runtuh.

“Oleh itu, kita mohon pihak SPRM dapat jalankan siasatan berhubung pembinaan bangunan pasar terbabit,” katanya ketika ditemui selepas membuat laporan di Ibu Pejabat SPRM Kelantan di Kota Bharu hari ini.

Kira-kira 50 peniaga turut hadir membuat perhimpunan secara aman memohon siasatan SPRM berhubung pembinaan Pasar Siti Hajar.

Media sebelum ini melaporkan sebilangan besar peniaga di Pasar Besar Pasir Puteh enggan berpindah ke Pasar Siti Hajar.

Peniaga mendakwa petak jualannya hanya berukuran 3×5 kaki persegi berbanding 6×6 kaki persegi di pasar lama selain itu lokasi pasar baharu tidak strategik.

Peniaga Minah Mamat, 67, berkata, dia enggan berpindah ke pasar baru kerana tidak selesa dan tidak strategik berbanding pasar lama.

“Selain itu, bayaran sewa di pasar itu juga mahal dan dengan lokasinya yang tidak strategik mengurangkan kehadiran pelanggan, susah untuk saya bayar. Kami juga bimbang kerana kawasan itu mudah dinaiki air.

“Kalau boleh saya nak terus kekal berniaga di pasar lama,” katanya.

Sharing is caring!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *