Pelaburan dari China, tanam durian pun untung

Sharing is caring!

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mempersoalkan mengapa isu kedaulatan negara tidak pernah dibangkitkan semasa pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad, tetapi menjadi isu besar dalam pentadbiran semasa.

Najib berkata ketika bekas perdana menteri Dr Mahathir melaksanakan Dasar Pandang Ke Timur, tidak ada pihak yang mengkritiknya.

Namun, kata Najib, ia berbeza ketika beliau membawa masuk pelaburan dari China ke dalam negara.

“Bila saya bawa balik dalam lawatan ke China awal tahun ini dengan jumlah pelaburan RM144 bilion, pembangkang kata saya jual kedaulatan negara kita.

“Percayakah anda, apabila Dasar Pandang Ke Timur sekitar 1980 dilaksanakan oleh perdana menteri 22 tahun itu, kenapa tidak siapa bangkitkan kedaulatan kita dijual pada Korea dan Jepun?” kata Najib.

Tapi, kataanya, apabila Malaysia ada hubungan dengan China, kerajaannya dituduh menjual negara.

Najib dipetik berkata begitu ketika berucap pada Perhimpunan Patriotik Masyarakat Cina di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur, hari ini.

MCA hari ini menganjurkan himpunan itu bersempena sambutan Hari Malaysia ke-54 dengan kehadiran kira-kira 15,000 masyarakat keturunan Cina dari seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

Sementara itu, mengulas lanjut Najib yang juga pengerusi BN berkata peningkatan pelaburan dari China memberi manfaat kepada ekonomi Malaysia kerana negara terbabit adalah rakan perdagangan penting.

“Pelaburan dari China untungkan kita. China negara dagangan utama kita. Orang yang tanam durian hari ni pun untung. Harga durian naik.

“Saya jumpa kebetulan seorang pengusaha eksport produk durian ke China dan dia tak cukup bekalan untuk penuhi permintaan di sana.

“China beli sarang burung walit juga. Beli kelapa sawit dari kita. Hotel-hotel di Sabah dan Sarawak tak cukup. Siapa untung?” soal Najib.

Bagaimanapun dalam asyik bercerita keyakinan pelabur China kepada Malaysia Najib sempat menyindir kepimpinan Dr Mahathir.

Kata Najib, meskipun beliau banyak membawa masuk pelabur asing namun BN itu tetap mengutamakan kemahiran rakyat tempatan.

“Kita mungkin berbangga dengan Menara Berkembar KLCC, tetapi juruteranya adalah orang asing. Kontraktornya adalah dari Jepun dan Korea.

“MRT dilakukan oleh kami, MMC-Gamuda dan banyak rakyat Malaysia yang terlibat dalam projek itu,” kata Najib.

Sharing is caring!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *