PDRM buru ‘9 Dragons’ dipercayai VIP dalangi sindiket perjudian negara

Sharing is caring!

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendedahkan terdapat dalang dan ketua sindiket perjudian di negara ini terdiri daripada kalangan orang kenamaan berpangkat Datuk, Datuk Seri serta Tan Sri.

Perkara itu disahkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dan menyifatkan golongan orang kenamaan tersebut menggunakan pengaruh mereka untuk melindungi sindiket haram berkenaan.

“Saya tidak boleh mendedahkan siapa mereka kerana bimbang akan mengganggu siasatan kes. Bagaimanapun ada dalam kalangan mereka terdiri daripada orang kenamaan berpangkat Datuk, Datuk Seri dan Tan Sri diburu,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI di sini hari ini.

Pada 19 Oktober lepas, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan dilaporkan berkata kegiatan perjudian haram dan semua aktiviti tidak bermoral di negara ini didakwa didalangi oleh sembilan ketua digelar dragon selain mengutip hasil RM5 bilion sebulan.

Ditanya mengenai lokasi sindiket tersebut, Mohamad Fuzi memaklumkan perkara itu tidak boleh didedahkan kepada umum kerana bimbang mengganggu siasatan.

“Untuk makluman kita telah mengenal pasti siapa mereka ini, kalau saya dedah lokasi dan individu tersebut sudah pasti mereka akan melarikan diri ke lokasi lain termasuk luar negara.

“Sindiket perjudian terbesar negara ini terdapat di seluruh negara,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamad Fuzi meminta semua pihak memberi ruang kepada PDRM untuk menyiasat perkara tersebut dan mengheret individu yang terlibat ke muka pengadilan.

“Beberapa kali saya tegaskan bahawa kita tidak akan bersekongkol dengan pihak yang terlibat termasuk anggota PDRM. Tetapi saya minta jangan ada dakwaan menyatakan terdapat anggota polis ‘dibayar’ untuk melindungi kegiatan ini,” katanya.

Terdahulu, Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata setakat ini lebih 10 individu dikenal pasti di ibu negara, Selangor dan beberapa tempat lain.

“Kami telah mengarahkan ketua-ketua kontinjen untuk mengenal pasti bukan pekerja-pekerja di premis judi tetapi mereka yang terlibat secara tidak langsung iaitu ‘the man behind the scene’,” katanya.

Noor Rashid berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penutup Festival Kesenian Piala Ketua Polis Negara di sini hari ini.

Beliau berkata polis sedang mengumpulkan keterangan yang ada bagi membolehkan dalang-dalang yang dikenal pasti diambil tindakan di bawah peruntukkan undang-undang sedia ada.

“Kami telah merancang tiga fasa dalam usaha memerangi perjudian ini iaitu memastikan semua premis perjudian ditutup, mengenal pasti dalang serta mengumpulkan keterangan untuk diambil tindakan.

“Sekiranya gagal, kita mempunyai alternatif lain untuk ambil tindakan pencegahan yang ada seperti Akta Pencegahan Jenayah (Poca) dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA),” katanya.

Dalam pada itu, Noor Rashid berkata setiap serbuan yang dilakukan ke atas premis judi perlu disertai pegawai polis yang mahir dalam bidang siber selain pegawai yang mempunyai kepakaran mengenai perjudian dan Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7).

Ini kerana katanya, banyak premis judi yang menganjurkan perjudian secara atas talian yang perlu dikenal pasti dan diambil tindakan.

“Kalau ada ketiga-tiga kepakaran ini semasa serbuan, saya rasa tindakan kita akan berjaya dari aspek siasatan dan pendakwaan, jadi di peringkat pertama ini kita akan terus mengenal pasti dahulu premis judi yang terbuka,” katanya.

Pada 19 Oktober lepas, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan dilaporkan berkata kegiatan perjudian haram dan semua aktiviti tidak bermoral di negara ini didakwa didalangi oleh sembilan ketua digelar ‘dra­gon’ selain mengutip hasil RM5 bilion sebulan.

Sharing is caring!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *