PAS Ucap Takziah Kepada Rakyat Pulau Pinang

Sharing is caring!

KUALA LUMPUR – Banjir besar di Pulau Pinang membuktikan bencana kemanusiaan merupakan suatu musibah yang boleh menimpa dimana sahaja dan kepada sesiapa sahaja.

Sehubungan itu, Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan dalam satu kenyataan berkata PAS merakamkan ucapan takziah kepada kerajaan DAP Pulau Pinang di atas bencana banjir tersebut.

“PAS akan mengerahkan seluruh jentera parti yang terdiri dari Khidmat Malaysia, Petugas Unit Amal, jentera parti bagi membantu semua mangsa yang terlibat.

“Semoga semua pihak yang terlibat bersabar dan mengutamakan keselamatan. Kepada Allah kita berserah dan kepada Allah kita mohon pertolongan,” katanya dalam kenyataan itu hari ini.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng semalam membuat kenyataan terbuka kepada pihak media merayu kepada Kerajaan Persekutuan supaya memberi bantuan kepada kerajaan Pulau Pinang untuk menangani bencana banjir besar di negeri itu.

Beliau yang juga Setiausaha Agung DAP malah mengakui menghubungi sendiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi selaku Menteri Dalam Negeri awal pagi ini bagi meminta bantuan dan Ahmad Zahid sanggup mengangkat panggilannya pada pukul 3.30 pagi sebelum segera mengerahkan bantuan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini turut turun ke Pulau Pinang bagi memantau bencana banjir di negeri itu.

Kelantan Derma RM50,000

Kerajaan Kelantan pimpinan PAS hari ini mendermakan sejumlah RM50,000 sebagai bantuan segera kepada Pulau Pinang yang kini berdepan dengan banjir kilat.

Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob berkata kerajaan negeri turut menghantar sukarelawan bagi menjalankan kerja-kerja kesukarelawanan ke negeri itu.

“Pagi tadi saya menerima berita berkenaan keadaan banjir di Pulau Pinang yang semakin membimbangkan. Melalui kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang, didapati ada pusat-pusat pemindahan banjir yang terputus bekalan elektrik.

“Dalam situasi sebegini, saya menyeru semua pihak agar dapat membantu mangsa-mangsa banjir di sana dengan mengenepikan sebarang sentimen politik,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Sharing is caring!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *