Najib jumpa Trump untuk bergambar saja?

Sharing is caring!

Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa kunjungan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ke Washington baru-baru ini bukanlah untuk memperjuangkan nasib orang Rohingya.

Sebaliknya kata Dr Mahathir, Najib bertemu Presiden AS Donald Trump hanya untuk bergambar bersama.

“Dia bukan peduli pasal itu (Rohingya). Dia cuma nak ambil gambar saja dan untuk itu sahaja dia bayar AS$20 bilion untuk peluang bergambar.

“Media tahulah, peluang untuk bergambar itu lebih penting, kan?” katanya dalam sidang media di bilik Ketua Pembangkang Parlimen hari ini.

Bayaran dinyatakan Dr Mahathir itu dipercayai merujuk kepada ikrar dibuat Najib di depan Trump untuk melabur dalam sektor infrastruktur AS sekali gus membantu mengukuhkan ekonomi negara berkenaan.

Mahathir berkata demikian ketika diminta mengulas lawatan Najib bertemu Trump di Rumah Putih pada September lalu.

Kunjungan berkenaan menarik banyak minat di negara ini, terutama pembangkang yang mempertikaikan keberkesanannya.

Dr Mahathir – perdana menteri keempat Malaysia – adalah seorang daripada tokoh paling lantang mengkritik dan mempersenda lawatan berkenaan.

Tiada sidang media bersama

Semalam perdana menteri mengaku menyampaikan isu Rohingya kepada Trump dan ia sedikit sebanyak menampakkan hasil berikutan masyarakat antarabangsa mula memberi lebih perhatian kepada kaum yang tertindas di Myamnar itu.

Malah kata Najib AS memperuntukkan AS$32 juta untuk bantuan kemanusiaan buat pelarian Rohingya, selain memutuskan bantuan ketenteraan kepada Myanmar.

Tindakan yang diambil AS itu kata Najib menunjukkan Malaysia mempunyai keupayaan membawa isu-isu berkepentingan kepada negara kuasa besar.

Namun Parti Amanah Negara (AMANAH) menolak kenyataan itu kerana usul mengenai nasib etnik Rohingya tidak pernah berjaya dibahaskan secara rasmi di Dewan Rakyat walaupun pernah dikemukakan beberapa kali.

Pengerusi Biro Antarabangsa AMANAH Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata dakwaan Najib membangkitkan isu itu ketika bertemu Trump hanyalah sandiwara.

Dr Mahathir turut mempertikaikan keberkesanan lawatan Najib ke Rumah Putih apabila mereka tidak mengadakan sidang media bersama selepas pertemuan berkenaan.

Ia adalah amalan biasa dilakukan presiden AS selepas bertemu dengan kebanyakan pemimpin negara.

Minggu lalu Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong berkunjung ke Rumah Putih dan mengadakan sidang media bersama Trump.

Najib juga menegaskan beliau tidak membuat apa-apa bayaran untuk bertemu Trump.

Sharing is caring!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *