MP PKR dilarang masuk Sarawak

Sharing is caring!

Dua anggota parlimen PKR dilapor tidak dibenarkan memasuki Sarawak, sehari sebelum kunjungan Tun Dr Mahathir Mohamad ke bumi kenyalang itu esok.

Anggota Palimen Ampang, Zuraida Kamaruddin menjadi individu pertama dihalang ketika tiba di Lapangan Terbang Miri kira-kira jam 2 petang tadi.

Ia disusuli dengan Anggota Parlimen Petaling Jaya Selatan, Hee Loy Sean, kata ADUN Kuala Sepetang, Chua Yee Ling.

Chua terdahulu berkata, Zuraida sepatutnya menghadiri majlis makan malam anjuran PKR dan Purple Women’s Walk yang dijadualkan pagi esok.

“Akan tetapi beliau telah ditolak masuk oleh Imigresen Sarawak,” katanya menerusi catatan Facebook.

Berdasarkan surat yang dipaparkan, notis larangan itu dikeluarkan sejajar dengan seksyen 65(1) (a) Akta Imigresen 1959/63.

“Pihak berkuasa negeri telah mengarahkan supaya tiada pas dikeluarkan kepada tuan untuk memasuki negeri Sarawak dan pas tersebut adalah diperlukan untuk tuan memasuki negeri ini selaras dengan kehendak Seksyen 66 akta yang sama,” jelas surat berkenaan.

Sementara itu, Hee tiba di lapangan terbang itu jam 5 petang tadi dan turut menerima surat yang sama.

Lebih ramai akan dihalang?

Chua ketika dihubungi memberitahu, beliau tiba di Miri malam tadi dan tidak mempunyai masalah melepasi pihak Imigresen.

“Kemudian, saya dan Michael Teo menunggu untuk menyambut kedatangan Zuraida di Lapangan Terbang Miri, tetapi kami menerima panggilan telefon yang mengatakan dia telah diharamkan masuk,” katanya.

Beliau berkata Naib Ketua Wanita PKR, Norsham Abu Samah, yang mengiringi Zuraida, bagaimanapun berjaya memasuki negeri itu.

Zuraida kemudian dikehendaki mengambil penerbangan seterusnya untuk pulang ke Kuala Lumpur.

Chua berkata beliau bimbang pemimpin pembangkang lain juga akan disekat memasuki negeri itu seperti yang dihadapi Zuraida.

“(Naib Presiden PKR) Nurul Izzah akan tiba di Lapangan Terbang Miri sekitar jam 7 malam hari ini. Kami bimbang beliau akan dihalang juga. Izzah sepatutnya turut menghadiri majlis makan malam di Miri,”katanya.

Ditanya sama ada mereka akan menghadiri ceramah Pakatan Harapan, Chua berkata beliau masih tidak pasti kerana jadual utama mereka adalah majlis makan malam.

Larangan itu dibuat sehari sebelum Mahathir mengunjungi negeri itu esok buat pertama kali sebagai pemimpin pembangkang.
Bekas presiden Umno itu akan berucap sebagai pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) di Kuching, dalam satu ceramah mengenai manifesto bagi negeri itu untuk Pilihan Raya Umum ke-14.

Turut dijadualkan hadir ialah pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang, pengarah pilihan raya AMANAH, Dr Hatta Ramli dan pemimpin HARAPAN negeri, Chong Chieng Jen, Baru Bian dan Mohd Fidzuan Zaidi.-Mkini

Sharing is caring!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *