Mat Taib Pulang ke Sarang

Sharing is caring!

Bekas menteri besar Selangor Tan Sri Muhammad Muhammad Taib hari ini kembali ke pangkuan Umno.

Pengumuman itu dibuat Perdana Menteri merangkap Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak di ibu pejabat Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) sebentar tadi.

Muhammad berkata, keputusan itu dibuat selepas merasakan perjuangan pembangkang adalah sia-sia.

Beliau yang lebih dikenali dengan nama Mat Taib itu keluar Umno untuk menyertai PAS pada April 2013, dan kemudian menyertai PKR dua tahun kemudian.

Sidang media itu pada awalnya mencetuskan spekulasi Najib bakal membuat pengumuman berkaitan pilihan raya umum (PRU) ke-14.

Malah Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi terpaksa menamatkan programnya di Perlis untuk menghadiri sidang media itu.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri yang juga anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Ahmad Maslan berkata beliau pulang ke Kuala Lumpur dari Sabah khusus untuk pengumuman itu.

Mat Taib yang duduk di sebelah Najib berkata, keputusan untuk kembali kepada Umno juga kerana bimbang melihat perpecahan di kalangan orang Melayu.

Sementara itu, Najib berkata keputusan tersebut diputuskan Mat Taib sendiri dan beliau tidak ditawarkan sebarang imbuhan mahupun jawatan.

Sidang media itu pada mulanya dibuat secara penuh rahsia, dan hanya beberapa media arus perdana dibenarkan membuat liputan.

Beberapa portal berita serta agensi berita antarabangsa dilarang menyertainya.

Terdahulu, NAIB Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menasihati rakyat supaya menyaring setiap berita diterima termasuk kononnya bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akan mengumumkan pembubaran Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini.

Ahmad Zahid berkata, berita palsu sedemikian sengaja diciptakan dan ditularkan oleh pihak tertentu dan seolah-olah menjadi kepuasan apabila ia diterima atau dipercayai rakyat.

Beliau berkata, sehubungan itu beliau meminta perkara itu dihentikan kerana rakyat akhirnya akan mengetahui atau sedar bahawa hal ditular itu adalah tidak benar.

“Berita palsu ini sengaja diciptakan seolah-olah satu kepuasan atau kemenangan jika diterima. Contohnya pada petang ini akan ada sidang khas media oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan semua ahli Majlis Tertinggi dan (tular) berita palsu kononnya Parlimen dan DUN akan dibubarkan.

“Kawan-kawan saya di Makkah hantar mesej mohon pengesahan adakah berita itu benar. Saya tidak mahu mendahului hukum Allah SWT dan tidak mahu mendahului Perdana Menteri.

“Saya tidak fikir ada pembubaran Parlimen pada hari ini. Kalau ada perkara lain, tunggu sidang media petang ini,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Arau di Kangar, hari ini.

Hadir sama Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim.

Najib akan mengadakan sidang media di Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur, 4.45 petang, hari ini.

Sharing is caring!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *