Korea Utara beri jaminan keselamatan untuk skuad Harimau Malaya

Sharing is caring!

JOHOR BAHRU: Kerajaan Korea Utara memberi jaminan keselamatan ke atas skuad bola sepak negara yang akan bertandang ke Pyongyang untuk perlawanan Kelayakan Piala Asia 2019 pada 5 Oktober ini.

Jaminan itu dibuat Charge D’Affair Kedutaan Korea Utara, Kim Yu Song ketika mengadakan pertemuan dengan Tunku Mahkota Johor (TMJ) yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim di Istana Pasir Pelangi, hari ini.

Tunku Ismail berkata, kerajaan republik itu berjanji akan menjaga keselamatan, penginapan dan makanan untuk pemain serta pegawai skuad Harimau Malaya sepanjang berada di Pyongyang.

“Mereka memberi jaminan dan bersetuju ini adalah sukan. Mereka tidak mahu mencampur adukkan politik dengan sukan.

“Saya yakin dengan janji diberikan dan keselamatan pemain ketika berada di negara berkenaan,” katanya pada sidang media selepas majlis memperkenalkan piala Liga Super yang baharu di Hotel Thistle, Johor Bahru, hari ini.

Yang turut hadir Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi; Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamiddin Mohd Amin dan Ketua Pegawai Eksekutif Perkongsian Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP), Kevin Ramalingam.

Terdahulu, Tunku Ismail menerima kunjungan Kim di Istana Pelangi bagi membincangkan hubungan dua hala dan perlawanan bola sepak antara kedua-dua pasukan kebangsaan.

Menurut laman rasmi JOHOR Southern Tigers, perbincangan membuahkan hasil positif yang mana Tunku Ismail turut memberi ucapan terima kasih kepada Charge D’Affair Kedutaan Korea Utara itu.

Selain itu, Tunku Ismail diberi penghormatan istimewa iaitu kebenaran sepenuhnya untuk menggunakan ruang udara terus dari Johor ke Pyongyang pada bila-bila masa sekiranya beliau ingin melawat Korea Utara.

Ia adalah penghormatan tertinggi buat Tunku Ismail kerana sebelum ini, semua pengunjung perlu berhenti di Beijing, China sebelum boleh memasuki republik berkenaan.-Bharian

Sharing is caring!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *