Khalid Dilantik Pengerusi Prasarana, Duta Khas

Sharing is caring!

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan pelantikan Tan Sri Khalid Abu Bakar sebagai Pengerusi Kumpulan Prasarana Malaysia Bhd yang baharu.

Dalam satu kenyataan, Najib turut mengumumkan pelantikan Khalid sebagai Duta Khas bagi meningkatkan hubungan dan kerjasama negara dengan masyarakat antarabangsa dalam usaha memerangi keganasan, fahaman pelampau dan pemerdagangan manusia.

“Ini memandangkan pengalaman luas serta hubungan baik Tan Sri Abu Bakar dengan agensi antarabangsa sepanjang tempoh perkhidmatannya sebagai Ketua Polis Negara dalam menangani masalah tersebut,” katanya.

Sementara itu Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri, berkata Khalid adalah seorang yang “luar biasa” kerana sifat kesetiaannya yang tidak pernah luntur walau dalam apa jua situasi.

Ahmad Zahid berkata bekas Ketua Polis Negara itu juga telah berjaya menyelesaikan segala permasalahan dengan amalan profesionalisme  sepanjang menjalankan tanggungjawabnya.

“Apabila saya mengarahkan Ops Cantas Khas dibuat sewaktu mula-mula saya diberi tanggungjawab sebagai Menteri Dalam Negeri, ia dijayakan tanpa persoalan oleh beliau (Khalid) sendiri.

“Saya telah arahkan tiga pasukan elit diwujudkan iaitu Pasukan Tindakan Khas Jenayah Terancang (STAFOC), Pasukan Tindakan Khas Judi, Maksiat dan Gangsterisme (STAGG) dan Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING) yang mana arahan datang daripada saya kepada Tan Sri Khalid dan ia dilaksanakan bagi menangani semua permasalahan berbeza terus ke sasaran dan tidak melalui hierarki,” katanya.

Khalid bersara wajib pada 4 September. Khalid yang berasal dari Seremban, Negeri Sembilan, menyertai pasukan keselamatan itu sebagai inspektor pada 5 Disember 1976.

Najib berkata pelantikan Khalid sebagai Pengerusi Prasarana adalah bagi menggantikan Tan Sri Ismail Adam yang tamat tempoh pelantikan pada 31 Ogos lepas.

“Khalid akan meneruskan misi dan visi Prasarana untuk membina dan menyediakan perkhidmatan pengangkutan awam yang bertaraf dunia serta peningkatan penggunaan pengangkutan awam,” katanya.

Najib bagi pihak kerajaan turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Ismail atas sumbangan beliau menjayakan misi dan visi Prasarana sepanjang tempoh perkhidmatannya.

Sharing is caring!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *