Keikhlasan pada setiap amalan

Sharing is caring!

Bercakap tentang Ikhlas, Allah tidak akan menerima sesuatu amalan kecuali yang ikhlas kepadaNYA.

Siapa pun di depan atau belakang kita, tidak diambil peduli setiap amalan yang dilakukan kecuali ikhlas keranaNYA. Bukan untuk menunjuk-menunjuk, mahupun untuk mendapatkan sesuatu.

Rahsiakan semaksimum mungkin ibadat-ibadat yang boleh dirahsiakan seperti solat tahajjud, bersedekah dan sebagainya.

Kecuali ibadat seperti hadir ke majlis ilmu, solat berjemaah di masjid dan sebagainya itu adalah sememangnya yang kelihatan sudah di khalayak ramai.

Begitu juga dengan majlis untuk di war-warkan apabila ingin pergi menunaikan ibadat Haji. Kononnya ingin meminta maaf ataupun untuk didoakan, yang mahu pergi haji itu anda, jadi andalah yang sepatutnya mendoakan untuk orang lain supaya dipermurahkan rezeki untuk pergi haji.

Jika ingin meminta maaf itu bukanlah ada waktu khasnya, kita perlu meminta maaf setiap saat.

Jangan tidur malam hari ini kecuali setelah kita meminta maaf dengan orang yang kita buat salah padanya. Kerana mati itu pasti! Cuma masanya tidak diketahui.

Bahkan ulama salaf dulu mereka pergi umrah dan haji tetapi tidak ada sesiapa yang tahu.

Dinukil dalam sebuah kisah Abu Bakr (R.A) pernah membantu seorang wanita janda dengan tidak ada seorang pun yang tahu.

Umar Al-Khattab (R.A) menceritakan di zaman khalifah Abu Bakr, beliau ingin bertemu dengan Abu Bakr kerana mempunyai sesuatu hal yang ingin dibincangkan.

Maka setelah selesai solat zohor, Umar sempat berbual dengan sahabat-sahabat yang lain yang mana kemudiannya beliau ingin menyusul ke rumah Abu Bakr.

Kerana biasanya Abu Bakr di zaman pemerintahannya beliau sentiasa mengimamkan solat, setelah selesai beliau terus pulang ke rumahnya.

Maka Umar pergi ke rumah Abu Bakr, dia berfikir bahawa Abu Bakr ada di rumah. Tiba di rumah Abu Bakr, Umar memberi salam dan dijawab oleh isteri Abu Bakr.

Umar bertanya “Dimana Abu Bakr?” Lalu jawab isteri Abu Bakr, “Abu Bakr biasanya tidak pernah pulang di masa begini, dia biasanya pulang ke rumah selepas solat asar”.

Lalu berkata Umar, “Kami selalu menyaksikan bahawa Abu Bakr pulang ke rumahnya”. Jawab isterinya “Tidak pernah”.

Umar seorang yang cerdas, beliau pulang ke rumahnya dan berfikir kemana Abu Bakr pada waktu sebegini.

Tiba waktu asar, solat diimamkan oleh Abu Bakr, Umar langsung tidak bertanya kepada Abu Bakr kemana beliau pergi, begitu juga dengan waktu-waktu solat selepasnya, maghrib, isya sehinggalah zohor keesokkan harinya.

Setelah selesai solat zohor, Umar mengekori Abu Bakr secara senyap-senyap, ternyata Abu Bakr menyusuri jalan ke rumahnya tetapi apabila tiba di hadapan rumahnya, Abu Bakr melihat kiri dan kanan mempastikan tiada orang lalu diteruskan perjalanannya jauh ke hujung Madinah sendirian yang mana diekori Umar ketika itu.

Di hujung Madinah, Abu Bakr berhenti di sebuah rumah yang usang. Beliau mengetuk pintu rumah itu dan memberi salam. Lalu ada seorang wanita tua menjawab dan Abu Bakr masuk ke dalam rumah tersebut. Manakala Umar menunggu di sebalik tembok rumah itu.

Setelah lama Umar menunggu, akhirnya keluar Abu Bakr dari rumah itu untuk pulang. Setelah Umar mempastikan Abu Bakr telah jauh dari rumah itu, Umar mengetuk pintu rumah tadi dan memberi salam.

Wanita tua tadi menjawab salam, Umar meminta izin untuk masuk lalu dia mengizinkan Umar masuk ke rumahnya.

Sewaktu membuka pintu rumah itu, Umar melihat wanita itu seorang yang sangat tua dan buta matanya. Dia hanya tinggal sendirian di rumah itu.

Lalu Umar bertanya pada wanita tua itu, “Siapa yang datang ke rumahmu sebentar tadi?”

Wanita yang sangat tua, buta dan uzur ini menjawab, “Saya tidak mengenali siapa dia, dia tidak pernah menyebut namanya”.

Umar bertanya lagi, “Apa yang dilakukan di rumahmu?”

Wanita yang tinggal sendirian itu menjawab,

“Setiap hari, dari zaman Rasulullah (SAW) masih hidup lagi, setiap siang dia datang membersih rumah saya, menyediakan makanan untuk saya, mencuci pakaian saya dan menyiapkan pakaian saya untuk keesokkan harinya”

Tiba-tiba Umar menangis, beliau mengatakan ‘dengan inilah Abu Bakr mengalahkan kami’. Bayangkan setelah berpuluhan tahun Abu Bakr melakukan amalan ini tetapi tidak ada seorang pun yang tahu.

Umar hanya tahu perkara ini setelah mengekorinya, kalau tidak Umar sendiri pun tidak akan tahu. Perkara yang dilakukan Abu Bakr seorang pemimpin tertinggi waktu itu, sangat membantu wanita tua itu dalam meneruskan hidupnya yang serba dhaif.

Setelah Abu Bakr meninggal dunia, Umar pula meneruskan amalan ini, membantu janda-janda yang susah, dibiaya, dibantu hidup mereka dan setiap kali Umar berbuat demikian diakhiri dengan kata-kata ‘Inilah pelajaran dari Abu Bakr’

Ini menjadi contoh kisah dari sahabat, bagaimana mereka menjaga keikhlasan itu sendiri. Maka haruslah merahsiakan apa sahaja amalan/ibadat yang boleh dirahsiakan.

Sebagaimana sebuah hadis Imam Muslim yang bermaksud: Kata Rasulullah (SAW):

“Allah sangat mencintai hambaNYA yang bertaqwa, meninggalkan apa yang dilarang dan melakukan apa yang diperintah. Orang yang kaya suka bersedekah, suka membantu orang-orang yang susah. Dan yang ketiga adalah orang yang suka merahsiakan ibadahnya”

Sharing is caring!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *