‘Kaki Raba’ Tumpas

Sharing is caring!

SUSPEK lelaki yang disyaki mencabul wanita di Stesen LRT Masjid Jamek, Kuala Lumpur, Khamis lalu, sudah ditahan polis Selangor pada hari sama kerana turut disyaki melakukan jenayah cabul di Petaling Jaya.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mazlan Lazim berkata, dalam kejadian kira-kira jam 10.30 malam itu, mangsa wanita berusia 20 tahun dicabul di stesen LRT ketika dalam perjalanan ke Gombak.

“Pihak polis menerima laporan mangsa diraba suspek lelaki tidak dikenali ketika menaiki tangga eskalator di stesen berkenaan.

“Mangsa yang bertindak pantas merakam wajah suspek menggunakan telefon pintar turut membuat laporan di Balai Polis Gombak,” katanya.

Beliau berkata, suspek lelaki warga India berusia 28 tahun kemudian berjaya ditahan polis selepas turut disyaki terbabit dua kejadian cabul di Petaling Jaya dan Seafield pada tarikh sama.

“Siasatan akan diteruskan terhadap suspek bagi kes di Kuala Lumpur mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan,” katanya.

Dalam kejadian berasingan yang tular di media sosial Jumaat lalu, pihak polis turut menerima laporan berhubung kes cabul membabitkan mangsa wanita berusia 25 tahun kira-kira jam 8 malam hari sama.

“Mangsa dalam perjalanan dari Stesen LRT Pasar Seni ke Stesen LRT Masjid Jamek. Suspek dipercayai seorang lelaki berkulit gelap.

“Kami menjalankan siasatan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan dan sudah merakam percakapan mangsa serta beberapa saksi selain meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

“Polis meminta kerjasama orang ramai tidak mudah percaya dengan penyebaran maklumat di laman sosial tanpa sumber sahih dan tepat daripada pihak polis. Sekiranya mempunyai sebarang maklumat diminta menyalurkannya kepada kepada polis,” katanya.

Tambahnya, orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Pegawai Turus Siasatan Seksual/ Kanak-kanak Kuala Lumpur Deputi Superintendan Shafa’aton Abu Bakar di talian 019-6114224 atau Pegawai Penyiasat Sarjan Lanny Riong di talian 014-3341886 atau 03-21460120.

Sharing is caring!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *