KAFA, penyokong bolasepak Kelantan adakan solat hajat

Sharing is caring!

KOTA BHARU: Kira-kira 200 penyokong bersama sebahagian pemain The Red Warriors (TRW) dan EXCO Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) melakukan solat hajat di perkarangan Stadium Sultan Muhammad IV, di sini, malam ini.

Program anjuran KAFA yang diimamkan Imam Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK), Muhammad Hana Pizi Abdullah itu, bertujuan meminta kesejahteraan dan keberkatan untuk persatuan serta pasukan bola sepak Kelantan.

Antara yang turut hadir adalah Presiden KAFA, Bibi Ramjani Ilias Khan selain timbalannya, Datuk Seri Afandi Hamzah dan barisan EXCO persatuan berkenaan.

Turut hadir ahli kelab penyokong bola sepak TRW termasuk kumpulan gendang kelab penyokong bola sepak Kelantan.

Bibi Ramjani ketika ditemui berkata solat berkenaan mendapat sambutan daripada ahli kelab penyokong dan peminat bola sepak negeri ini.

“Saya bersyukur ramai yang hadir menunaikan solat sunat hajat bagi memanjatkan doa agar pasukan Kelantan mendapat kemenangan ketika melayan kunjungan PKNS FC Rabu ini.

“Selain itu, saya juga berharap agar pasukan dapat kekal dalam Liga Super musim depan sekali gus dapat membantu mengembalikan kegemilangan TRW,” katanya.

Terdahulu, petang tadi, usahawan wanita itu sempat meluangkan masa kira-kira 20 minit bersama pemain dan jurulatih bagi memberi kata-kata semangat.

Dalam pertemuan yang sama, Bibi Ramjani turut melunaskan tunggakan gaji bulan Julai dan Ogos pada pemain.-BhOnline

Sharing is caring!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *