Jangan termakan dakyah pakatan pembangkang

Sharing is caring!

Datuk Seri Najib Razak mengingatkan masyarakat Cina di negara ini agar tidak terus-menerus termakan dakyah pakatan pembangkang.

Pengerusi BN itu berkata, mereka perlu meyakini bahawa Pakatan Harapan (HARAPAN) tidak akan dapat menawan Putrajaya dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.

“Kalau tengok realiti politik hari ini, ada dua parti Melayu utama iaitu Umno dan PAS.

“Pakatan Harapan dan DAP tak dapat sambutan. Lebih baik Cina sedar perkara ini.

“Slogan ini kalilah, lain kalilah, atau tak payahlah,” kata Najib ketika berucap di Perhimpunan Patriotik Masyarakat Cina di PWTC, Kuala Lumpur hari ini.

Slogan “ini kalilah” itu merujuk kepada slogan digunakan pembangkang untuk mendapatkan sokongan pengundi pada PRU lalu.

Pembangkang percaya mereka akan dapat mengatasi penguasaan berterusan BN ke atas negara ini dengan kewujudan HARAPAN serta pola sokongan masyarakat Cina yang tetap menyokong mereka pada PRU ke-14 nanti.

PRU itu perlu diadakan selewat-lewatnya Ogos tahun depan, namum penganalisis yakin perdana menteri akan mencadangkan kepada Yang di-Pertuan Agong supaya parlimen dibubarkan lebih awal.

Ia boleh berlaku seawal hujung tahun ini.

Tun Dr Mahathir Mohamad yang menjadi pengerusi HARAPAN percaya sekurang-kurangnya 80 peratus sokongan pengundi Cina kepada pembangkang akan kekal pada PRU ke-14 nanti.

Pada masa sama, bacaan Dr Mahathir mendapati PAS – yang dituduh semakin mesra dengan Umno sejak akhir-akhir ini – akan menjadi mangsa terbesar dalam percaturan semasa.

Kata Najib dakyah pembangkang yang disebarkan kepada orang ramai adalah hanya untuk mengelirukan rakyat selepas mereka gagal meyakinkan mereka sebelum ini.

“Prinsip pembangkang mudah, iaitu jika gagal yakinkan pengundi, mereka akan kelirukan minda anda supaya tidak mampu tentukan pihak mana yang betul dan salah,” katanya.
Oleh itu, Najib mengingatkan orang ramai supaya tidak bergantung kepada propaganda pembangkang.

“Kerajaan hari ini adalah kerajaan yang komited kepada masa depan Malaysia. Kami mempunyai visi baru untuk Malaysia.

“Kami komited kepada keamanan dan keharmonian, saling menghormati,” katanya.

Sharing is caring!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *