Jangan Bersedih, Kedah Tetap Pasukan Hebat

Sharing is caring!

ALOR SETAR – Skuad bola sepak Kedah jangan terlalu bersedih dengan kekalahan pada perlawanan akhir Piala Malaysia 2017 menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) malam tadi, kerana pasukan itu tetap berada di persada tertinggi dalam arena bola sepak tempatan.

Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) Datuk Othman Aziz berkata ini kerana, di sebalik kekangan kewangan dihadapi pasukan berkenaan, Kedah mampu muncul kuasa bola sepak hebat dengan berada dalam kedudukan dua pasukan terbaik di Malaysia, dan ia suatu pencapaian harus dibanggakan.

“Kedah sudah menunjukkan prestasi amat baik tahun ini dengan menjuarai Piala FA dan Piala Sumbangsih. Ini membuktikan Kedah bukan calang-calang pasukan,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan taklimat pasca Bajet 2018 di sini hari ini.

Perlawanan di Stadium Shah Alam malam tadi, menyaksikan JDT berjaya menamatkan penantian 26 tahun apabila dinobatkan juara Piala Malaysia 2017 selepas melakar kemenangan 2-0 ke atas juara bertahan, Kedah.

Mengulas perlawanan itu, beliau berkata aksi tersebut memang berpihak kepada JDT yang menampilkan corak permainan terbuka berbanding Kedah yang hanya menumpukan kepada usaha mendapatkan bola, namun penyudah kurang berkesan.

Beliau berkata strategi yang ditunjukkan itu tidak boleh bertahan lama menyebabkan Kedah gagal menembusi gawang JDT pada separuh masa pertama.

“Sayang sekali, Kedah tidak mampu atur serangan berkesan, tidak ada penyudah berkesan, tidak ada perancang utama, banyak memegang bola dan hanya berlegar dalam tiga suku padang, jarang masuk dalam kotak penalti pihak lawan,” katanya.

Beliau turut mencadangkan agar Kedah mendapatkan khidmat pemain import boleh mengawal bahagian tengah dengan baik seperti bekas pemain import, Nelson san Martin yang beraksi bersama Kedah pada 2006 hingga 2008.

Nelson merupakan tonggak utama membantu Kedah muncul juara tiga piala (Kejohanan Liga, Piala FA dan Piala Malaysia) dua musim berturut-turut pada 2007 dan 2008. – BERNAMA

Sharing is caring!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *