Bibi Ramjani Ilias Khan Presiden baru Kafa

Sharing is caring!

Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) hari ini mencipta sejarah apabila buat pertama kali mengangkat tokoh wanita bagi menerajui persatuan itu.

Usahawan tempatan Bibi Ramjani Ilias Khan, 47, menjadi presiden baru Kafa selepas menewaskan pencabarnya yang juga bekas naib presiden Datuk Mohamad Nasir Hamzah dalam undian ketika Kongres Agung Tahunan ke-63 di Kota Bharu, sebentar tadi.

Bibi Ramjani menang dengan undian 32-16 selepas undian dilakukan untuk kali kedua.

Undian pertama dibantah Mohamad Nasir selepas Bibi Ramjani gagal mendapat undi majoriti dengan 32 undi berbalas 19.

Mengulas kemenangannya, Bibi Ramjani berkata beliau sama sekali tidak menjangka undian akan berpihak kepadanya.

“Syukur ke hadrat ilahi atas kemenangan dan terima kasih kepada wakil Persatuan Bola Sepak Jajahan (PBJ) yang memberikan mandat ini kepada saya.

“Sejak awal saya menerima apa sahaja keputusan. Saya akan memastikan ia akan membawa manfaat demi kegemilangan bola sepak kelantan dan The Red Warriors (TRW),” katanya ketika ditemui pemberita.

Beliau berkata sudah mempunyai perancangan bagi menguruskan persatuan dengan lebih berkesan.

“Saya sudah sediakan perancangan dan team bagi menyeleraskan persatuan secara betul termasuk dalam soal kewangan. Insya-Allah Kafa dan TRW akan diberikan nafas baru dan kembali gemilang,” katanya lagi.

Jawatan timbalan presiden dimenangi Datuk Seri Afandi Hamzah yang menewaskan Datuk Rosmadi Ismail dengan 29-22 undi.

Jawatan naib presiden pula dimenangi Datuk Aizuddin Mohd Ghazali, Datuk Nik Izani Nik Ibrahim dan Nik Pakheruddin Nik Abdul Kadir.

Bagi jawatan ahli jawatankuasa eksekutif, seramai 10 muka baru dipilih antaranya Datuk Mohd Rowi Abdulah, Wan Rakemi Wan Zahari, Nubli Ab Latif Datuk Azman Ismail dan Datuk Shaari Hassan.

Sharing is caring!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *