‘Bertaubatlah Hadi…’

Sharing is caring!

Tun Dr Mahathir akhirnya membuka mulut berhubung seruan Datuk Seri Abdul Hadi Awang agar beliau bertaubat atas kesalahannya sepanjang mentadbir Malaysia.

Namun, barangkali jawapan itu bukanlah jawapan yang akan disenangi Presiden PAS.

“Hadi suruh saya bertaubat, sebenarnya yang mesti bertaubat adalah Hadi sendiri,” kata bekas perdana menteri itu di blognya, hari ini.

Mahathir sekali lagi membangkitkan kontroversi ‘Amanat Haji Hadi’ pada era 1980-an, yang menurutnya punca utama perpecahan umat Islam di Malaysia yang kesannya masih terasa sehingga kini.

Beliau berkata, al-Quran melarang umat Islam berpuak-puak dan mengkafirkan antara satu sama lain, dan amanat tersebut menurutnya telah menyebabkan kedua-dua perkara itu berlaku dengan tragedi Memali sebagai natijah terburuk.

“Hadi mengkafirkan orang Islam di Malaysia. Kerana Hadi kafirkan pemerintahan Malaysia, empat anggota polis dibunuh pengikut Ibrahim Libya kerana mereka percaya sedang berjihad dan mati mereka apabila diserang balas polis adalah syahid.

“Apa hak Hadi dan PAS untuk kafirkan orang yang tidak menyertai parti mereka? Di mana dalam al-Quran atau hadith yang menyatakan hanya menjadi ahli PAS barulah seseorang itu beragama Islam?” soal Mahathir.

‘Amanat Haji Hadi’ merujuk kepada ceramah yang disampaikannya pada 1981 dan teksnya dicetak dan diedarkan kepada ahli parti itu.

Batalkan amanat

Dalam ceramah itu, Hadi antara lain berkata umat Islam boleh menjadi kafir dengan mengamalkan “politik suku, agama suku”, merujuk kepada kerajaan yang menurutnya mengekalkan “perlembagaan penjajah dan undang-undang kafir”.

Empat tahun kemudian, pada 1985, berlaku pertembungan antara pihak keselamatan dengan pengikut Ibrahim Libya, aktivis PAS yang dikenali ramai, di Kampung Memali di Baling, Kedah, yang mengorbankan Ibrahim, 13 penduduk kampung dan empat polis.

Mengulas lanjut, Mahathir mendakwa amanat itu telah menyebabkan perpecahan mendalam di kalangan umat Islam, seperti amalan sembahyang dua imam dan perbalahan antara keluarga kerana perbezaan politik.

“Inilah hasil amanat Hadi, ia satu dosa besar. Sesungguhnya Hadi berdosa besar dan perlu bertaubat dan batalkan amanatnya,” katanya lagi.

Hadi menafikan ceramahnya itu menjadi punca tragedi Memali, dan berkata sehingga kini tiada sebarang tindakan atau tuduhan dikenakan ke atasnya.

Desak perbahasan

Beliau mendakwa amanatnya itu perlu didengar secara keseluruhan untuk mendapat konteks sebenar.

Mahathir yang juga Pengerusi HARAPAN berkata lagi, PAS akan terus memperalatkan agama bagi kepentingan politik.

“PAS akan terus peralatkan Islam. Berkali-kali usul RUU 355 ditangguh. Tetapi PAS masih menggunakan usul ini untuk menarik sokongan politik,” katanya lagi.

Pada 15 Oktober lalu, Ketua Dewan Ulamak PAS, Datuk Dr Mahfodz Mohamed berpendapat usul itu sebaiknya ditangguh selepas PRU ke-14 jika belum mendapat sokongan Umno.

Namun, setiausaha agung parti itu Datuk Takiyuddin Hassan beberapa hari kemudian menegaskan pihak mereka akan tetap mendesak perbahasan usul itu diteruskan, walaupun tidak boleh diselesaikan pada sesi Dewan Rakyat kali ini.

Sharing is caring!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *