Bekas ADUN Demit meninggal dunia

Sharing is caring!

Bekas ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Mohamad Daud, 78, meninggal dunia di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), di Kota Bharu pada jam 6.42 petang tadi.

Berita pemergian bekas anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demit itu disahkan Setiausaha Akhbar Menteri Besar Kelantan, Mohd Asri Mat Daud, sebentar tadi.

“Ya, baru meninggal sebentar tadi” katanya ringkas ketika ditanya pemberita dalam satu grup aplikasi WhatsApp, awal malam ini.

Sementara itu, ADUN Temangan Datuk Dr Mohamad Fadzli Hassan berkata, solat jenazah Allahyarham Mohamad dijangka akan diadakan pagi esok.

“Masa akan dimaklumkan nanti, ” katanya dalam catatan ringkas di Facebook.

Mohamad yang juga pakar dalam bidang fiqh mazahib berkecimpung dengan politik selepas dipilih sebagai calon PAS semasa pilihan kaya kecil Lundang pada 1994.

Beliau kemudiannya dilantik sebagai exco kerajaan negeri pada 1995 hingga 2004 dengan menggalas portfolio pembangunan Islam, pendidikan dan dakwah, exco kerjaraya dan exco pembangunan Islam, belia dan penerangan.

Difahamkan, sebelum ini kesihatan beliau kian merosot khususnya selepas diserang angin ahmar sebanyak dua kali termasuk pada 2013.

Di kalangan sesetengah orang Mohamad dianggap seorang tokoh yang sederhana, kurang menonjol dan disenangi sesuai dengan kedudukannya sebagai ketua Dewan Ulama PAS.

Di kalangan masyarakat beliau lebih dikenali dengan panggilan Ustaz Mat Daud Iraqi kerana pernah menuntut ilmu di sebuah universiti di Iraq.

Sharing is caring!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *