Bajet Selangor 2018, ‘Lunak tapi mengkhayalkan’

Sharing is caring!

KUALA LUMPUR: Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Sohaimi Shahadan menyifatkan Bajet Selangor 2018 dibentangkan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, sebagai “lunak didengar tetapi mengkhayalkan”.

Beliau berkata, tiada sebarang nilai tambah terhadap pembangunan ekonomi rakyat, melainkan lebih kepada “bajet aiskrim” sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Saya meneliti dengan penuh minat dan cermat Bajet Selangor 2018, namun tiada istimewanya dalam Bajet yang disifatkan Azmin sebagai ‘terbaik’ dalam Malaysia itu.

“Pengumuman bonus tiga bulan gaji kononnya paling tinggi di negara ini, tetapi sebenarnya sekadar tambahan sebulan gaji. Ia seolah-olah cuba menyaingi bonus diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, sebanyak RM1500 yang akan mula diagihkan awal tahun depan dan pada sambutan Aidilfitri nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Sohaimi turut menyifatkan Bajet Selangor 2018 sebagai “bajet penipu” kerana terlalu banyak janji manis ditabur kepada rakyat, berbanding rancangan pembangunan ekonomi sistematik.

Katanya, Azmin turut berbohong mengenai isu pemansuhan tunggakan Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan kos baik pulih penempatan rumah kos rendah.

“Beliau mesti jelaskan PPR yang mana? Kalau PPR Lembah Subang 1, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar, sudah maklumkan bahawa kerajaan terpaksa membayar RM60 juta bagi mengambil alih PPR itu, termasuk kos tunggakan sewa.

“Begitu juga soal kos bagi membaik pulih kediaman kos rendah yang jelas membuktikan Azmin baru ‘bangkit dari tidur’ kerana Tan Sri Noh sudah menjelajah ke seluruh Selangor, menyalurkan peruntukan membaikpulih rumah kos rendah,” katanya.

Sohaimi turut melontarkan persoalan mengenai kemungkinan isu dibangkitkan dalam Bajet Selangor 2018 itu, menarik minat Azmin berikutan PRU14 sudah semakin hampir atau kerana KPKT sudah pun menyalur peruntukan RM10 juta untuk baik rumah kos rendah di Selangor.

“Rakyat Selangor perlu bijak menilai dengan mata hati, bukannya terpesona dengan penipuan yang hanya sekadar lunak didengar itu,” katanya.- BH Online

Sharing is caring!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *