Apandi: Bukti siasatan 1MDB belum mencukupi

Sharing is caring!

Siasatan pihak berkuasa terhadap 1MDB masih berjalan namun setakat ini masih kekurangan bukti, kata Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali.

Menafikan dakwaan bahawa laporan kes itu sudah ditutup, Apandi berkata kertas siasatan sentiasa dirujuk kepada Pejabat Peguam negara.

“Kami menelitinya dan jika menemui kekurangan di mana-mana, kami berikan arahan supaya siasatan diteruskan,” kata Apandi semasa sidang media di pejabatnya di Putrajaya hari ini.

Sebelum itu Apandi menyampaikan sumbangan bernilai RM32,500 kepada waris mangsa kebakaran Sekolah Agama Darul Quran Ittifaqiyah.

Sumbangan yang dikumpulan daripada kakitangan Pejabat Peguam Negara itu diagih-agihkan sebanyak RM1,400 untuk setiap mangsa yang terkorban dalam kemalangan pada 14 Sept lalu.

Bagaimanapun apabila ditanya lebih lanjut Apandi enggan mendedahkan aspek mana yang perlukan siasatan lanjut seperti didakwanya itu.

“Saya tak boleh berikan kamu butiran mengenai apa yang sedang disiasat, tapi kami katakan ia kekurangan bukti. Jadi kami mahu tumpu aspek yang itu,” katanya.

Dapat arahan lanjut

Semalam Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk seri Azalina Othman Said memberitahu Dewan Rakyat peguam negara sekali lagi mengarahkan polis melakukan siasatan lanjut kes 1MDB pada 24 Oktober lalu.

Ia adalah kali kedua pejabat peguam negara mengembalikan semula kertas siasatan kepada polis berhubung skandal 1MDB dalam tempoh empat bulan.

“Oleh sebab siasatan masih dijalankan, apa-apa pendedahan mengenai butiran siasatan boleh menjejaskan dan memprejudiskan usaha siasatan yang sedang dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia dan perkara ini harus dihormati oleh semua pihak,” kata Azalina yang menjawab soalan Gobind Singh Deo (DAP-Puchong).

Terdahulu Gobing meminta penjelasan daripada kerajaan mengenai status siasatan 1MDB dan jika terdapat kelewatan menyiapkannya.

Pada 12 April lalu, Tan Sri Khalid Abu Bakar – yang masih menjadi Ketua Polis Negara ketika itu – memaklumkan pihaknya sudah menyelesaikan siasatan dan kertas siasatan diserahkan kepada peguam negara.

Khalid, bagaimanapun pada Jun lalu, berkata peguam negara mengarahkan pihak polis untuk menyiasat lanjut kes berkenaan.

Bulan lalu pula, ketua polis negara yang baru dilantik, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, berkata tidak ada keperluan bagi polis untuk menyiasat perkara itu.

“Tidak, tidak, kita tidak perlu (menyiasat lebih lanjut), kerana siasatan telah selesai.

“Kecuali kami mendapat arahan selanjutnya dari PAC (Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara) atau kabinet mengenai perkara ini,” kata Fuzi pada sidang akhbar 20 Sept lalu.

Sharing is caring!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *