AL-FATIHAH: Bekas CEO JCorp Meninggal Dunia

Sharing is caring!

KUALA LUMPUR – Tokoh korporat terkenal dan Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Johor Corporation, Tan Sri Muhammad Ali Hashim dilaporkan telah meninggal dunia pada pukul 3.30 petang, hari ini, Selasa.

Perkara tersebut disahkan sendiri oleh anaknya iaitu Alia Muhammad Ali.

Difahamkan, jenazah akan disembahyangkan di Masjid At Taqwa Taman Tun Dr. Ismail dan kemudian akan dikebumikan di Taman Perkuburan Islam Bukit Kiara selepas solat Isyak.

Muhammad Ali merupakan Presiden Dewan Perniagaan Islam Malaysia (MICC) dan Pengerusi, Awqaf Holdings Malaysia Bhd., Wakaf Korporat pertama yang dipimpin komuniti di Malaysia.

Beliau diiktiraf sebagai usahawan korporat Malaysia yang cemerlang dengan pengalam lebih 28 tahun sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Johor Corporation (JCorp, 1982-2010).

Sebelum meletakkan jawatannya sebagai CEO, JCorp diiktiraf sebagai salah sebuah syarikat terkemuka di Malaysia dengan lebih daripada 280 syarikat dan 65,000 pekerja.

Daripada kesemua syarikat itu, lapan syarikat daripadanya disenaraikan, dengan salah satunya tersenarai dalam Bursa Saham London, dengan jumlah nilai permodalan pasaran pada akhir 2010 sebanyak RM18.1 bilion.

JCorp mencatatkan pencapaian ini dengan mengintegrasikan nilai-nilai berteraskan Islam dan perspektif antarabangsa, mentakrifkan semula banyak aspek konsep pengurusan dan amalan korporat.

Antara idea-idea berani dan inovatif yang diamalkan oleh Muhammad Ali termasuklah Perniagaan Jihad, Waqf Korporat dan Intrapreneurship atau Amanah Keusahawanan.

JCorp melancarkan Waqaf An-Nur Corporation Bhd., entiti korporat Waqf pertama Malaysia pada tahun 2006. Nilai aset wakaf pada akhir tahun 2014 melebihi RM500 juta. Pada tahun 2015, melalui MICC, Muhammad Ali menubuhkan Awqaf Holdings Berhad, entiti korporat kedua Waqf Malaysia, yang melibatkan pembangunan Taman Korporat Awqaf bernilai RM430 juta di Putrajaya, Malaysia.

Di samping itu, keberanian beliau membeli jenama dan syarikat ayam goreng antarabangsa, KFC pada tahun 2006 melalui anak syarikat, Kulim (Malaysia) Bhd. adalah sesuatu yang membanggakan.

Ketokohan Muhammad Ali sekali lagi terserlah di media apabila beliau bangkit melawan agar jenama KFC kekal di bawah Johor Corporation walaupun ketika itu terdapat campur tangan politik yang ingin menjual jenama berkenaan demi keuntungan segera.

Muhammad Ali telah menulis empat buku, dan yang terakhirnya berjudul Strategi Jihad Bisnes (Strategi Perniagaan Jihad), (Oktober, 2015).

Pada bulan Oktober, 2015, Muhammad Ali disenaraikan sebagai salah seorang daripada 500 Muslim Yang Paling Berpengaruh di Dunia 2016, oleh Pusat Kajian Strategik Diraja Islam, Amman, Jordan.

Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat,Al-Fatihah.

JCorp, Syarikat Kumpulan Zahir Takziah

Johor Corporation (JCorp) dan syarikat kumpulannya menzahirkan takziah atas pemergian bekas Presiden dan Ketua Eksekutif JCorp Allahyarham Tan Sri Muhammad Ali Hashim, hari ini.

Presiden dan Ketua Eksekutif JCorp Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim berkata sebagai presiden dan ketua eksekutif JCorp selama lebih 28 tahun iaitu dari 1982 hingga 2010, Allahyarham banyak menyumbang jasa dan bakti hingga menjadikan JCorp sebagai sebuah konglomerat yang disegani di rantau ini.

“Seluruh anggota pekerja dan barisan pengurusan JCorp serta syarikat kumpulannya merakamkan ucapan takziah dengan pemergian Muhammad Ali.

“Iltizam Allahyarham mempraktikkan prinsip ekonomi Islam dalam sistem pengurusan korporat serta komitmen melaksanakan program pembangunan keusahawanan bumiputera selain memperkenalkan wakaf korporat menjadikan beliau antara tokoh ekonomi terkemuka yang pernah Johor dan Malaysia lahirkan,” katanya menerusi kenyataan malam ini.

Kamaruzzaman berkata sesungguhnya seluruh anggota pekerja dan barisan pengurusan JCorp amat berbangga kerana Allahyarham Muhammad Ali pernah memimpin JCorp hingga ke persada kejayaan.

“Justeru, bagi pihak seluruh anggota pekerja JCorp dan syarikat kumpulannya, saya mengucapkan takziah buat keluarga Allahyarham. Kami doakan semoga roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan hamba-Nya yang soleh dan beriman,” katanya. Muhammad Ali, 70, meninggal dunia di Hospital KPJ Damansara, Petaling Jaya, Selangor, kira-kira 3.30 petang.

Menurut anggota keluarga terdekat, Allahyarham dimasukkan ke hospital berkenaan sejak dua bulan lepas kerana menghidap barah. – BERNAMA

Sharing is caring!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *