Agong Berangkat Ke Majlis Santapan Diraja Di Brunei

Sharing is caring!

BANDAR SERI BEGAWAN – Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V serta beberapa Raja-Raja Melayu berangkat ke Majlis Santapan Diraja di Istana Nurul Iman di sini, sempena sambutan Jubli Emas pemerintahan Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah.

Baginda tiba di pekarangan Istana Nurul Iman pada kira-kira 8 malam Jumaat.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor.

Sambutan Jubli Emas di Brunei Darussalam yang telah bermula dengan rasmi sejak Selasa lalu, adalah simbolik bagi meraikan ulang tahun ke-50 Yang Di-Pertuan Negara Brunei Sultan Hassanal Bolkiah menaiki takhta.

Sultan Hassanal Bolkiah menaiki takhta pada 5 Oktober 1967.

Semalam seluruh Bandar Seri Begawan dimeriahkan dengan perarakan membawa Sultan Hassanal Bolkiah bersama Permaisuri Raja Isteri Pengiran Anak Saleha di atas usungan diraja di sekeliling pusat bandar sebagai salah satu acara sambutan.

Antara Raja-Raja Melayu yang turut berangkat pada sambutan malam ini ialah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah, Sultan Perak Sultan Nazrin Shah, Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin, Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Tuanku Syed Sirajuddin.

Turut hadir, Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abas, Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud dan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Musa Aman.

Sementara itu, beberapa ketua negara dan kerajaan asing termasuk pemimpin dari Asia Tenggara dan keluarga diraja Asia Barat, turut menjadi undangan Sultan Hassanal Bolkiah pada majlis santapan diraja di Istana Nurul Iman itu.

Antaranya Presiden Indonesia Joko Widodo, pemimpin Myanmar Aung San Suu Kyi, Presiden Filipina Rodrigo Duterte, Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong dan Perdana Menteri Thailand Jeneral Prayut Cha-O-Cha.

Majlis berakhir sekitar 10.30 malam. – BERNAMA

Sharing is caring!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *