Agong Berangkat Ke Istiadat Mengarak Panji-Panji

Sharing is caring!

PERBARISAN Mengarak Panji-Panji Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di Dataran Pahlawan Negara, Putrajaya, berlangsung dengan penuh istiadat.

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V tiba di istiadat berkenaan yang diadakan bersempena Hari Keputeraan Rasmi baginda, pada 9.35 pagi.

Istiadat turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menteri kabinet serta tetamu lain seperti pihak kedutaan dari pelbagai negara.

Perbarisan diketuai Pegawai Memerintah Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja, Leftenan Kolonel Mohd Radzi Othman, serta 25 pegawai dan 563 anggota pelbagai pangkat.

Dua puluh satu das tembakan kehormatan oleh 41 Bateri Rejimen Artileri Diraja (Istiadat) diketuai oleh Mejar Mohd Asri Che Wil, turut kedengaran.

Pada masa sama, penerbangan lintas hormat oleh lima helikopter Angkatan Tentera Malaysia (ATM) iaitu Nuri (dua helikopter), EC725, Allouette dan WASP diketuai Mejar Zool Amali Shodali dari Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Pesawat berkenaan membawa bendera Jalur Gemilang, ATM, Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan TUDM.

Turut berlangsung persembahan pancaragam mengiringi istiadat perbarisan daripada gabungan pancaragam Pusat ATM dipimpin Mejar Muhammad Nor Azizan Yahya.

Lima panji diarak iaitu Panji Rejimen Askar Melayu Diraja, Rejimen Renjer Diraja, Kor Amar Diraja, TLDM dan TUDM.

Panji adalah satu penghormatan dan lambang kemegahan, semangat dan ketaatsetiaan yang tidak berbelah bahagi oleh ATM terhadap raja dan negara.

Istiadat mengarak panji hanya boleh dilaksanakan pada Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong, perkhidmatan atau pasukan menerima panji baru dianugerahkan oleh Yang di-Pertuan Agong selain diarahkan oleh baginda.

Untuk perarakan Panji Rejimen, hanya boleh dilaksanakan pada pasukan menerima atau menukar Panji Rejimen, Hari Keputeraan Raja atau Kol Yang Di-Pertua Kor serta Hari Angkatan Tentera Malaysia.-Hmetro

Kredit Foto: JPM(PeneranganMalaysia)

Sharing is caring!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *