5 lelaki Bangladesh ditahan bantu siasatan kes wanita lacur anak

Sharing is caring!

Polis menahan lima lelaki rakyat Bangladesh, awal hari ini bagi membantu siasatan kes dua kanak-kanak perempuan yang disyaki dilacur ibu mereka.

Ketua Polis Johor Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata kelima-lima pekerja kilang berumur 28 hingga 42 tahun ditahan itu di sekitar kawasan Senai berhampiran Kulai, Johor.

“Penahanan dilakukan ekoran tertangkapnya seorang wanita yang disyaki melacurkan kedua-dua anak perempuannya,” katanya menerusi kenyataan malam tadi.

Mohd Khalil berkata kelima-lima lelaki terbabit dibawa ke Mahkamah Majistret Johor Bahru tengah hari tadi untuk mendapatkan perintah reman.

Beliau berkata kesemua mereka kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Atipsom) 2007.

Rabu lepas, polis menahan seorang wanita, kerana disyaki melacurkan dua anak perempuannya yang berumur lapan dan 10 tahun kepada tiga lelaki asing di sebuah hotel bajet di Johor Bahru.

Wanita berumur 39 tahun itu ditahan di rumahnya di Taman Bintang, Senai, dekat Kulai, selepas polis bertindak atas maklumat awam.

Wanita itu disyaki melakukan kegiatan itu sejak sebulan lepas.

Dia disyaki membawa kedua-dua anaknya ke hotel terbabit setiap Jumaat dan meninggalkan mangsa di hotel bersama tiga lelaki itu.

Wanita berkenaan yang merupakan ibu tunggal dipercayai menerima bayaran berjumlah RM50 setiap kali menjalankan ‘urus niaga’ berkenaan.

Kedua-dua mangsa sudah dirujuk ke Hospital Sultanah Aminah untuk pemeriksaan dan diserahkan kepada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat.

– Bernama

Sharing is caring!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *